Wednesday, March 4, 2009

Parah dibelasah seniorPelajar Tingkatan Satu sekolah agama mungkin lumpuh

TEMERLOH: “Ayah janganlah menangis,” kata Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Lipis memujuk ayahnya yang sebak melihat keadaannya terbaring dan kemungkinan besar lumpuh sepanjang hayat, dipercayai akibat dibuli oleh rakan sekolahnya.

Muhammad Afiq, 13, terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Temerloh kerana cedera pada saraf tunjangnya, selepas dipercayai dibuli pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Tiga dalam dua kejadian pada April dan dua minggu lalu.


Punca kecederaan Muhammad Afiq itu hanya disedari selepas dipujuk beberapa kali oleh doktor mengenai apa yang berlaku.

Bapanya, Baharuddin Muhammad, 44, renjer di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, anaknya mendakwa dipukul pelajar senior di sekolah itu dua kali.

Dalam kejadian pertama, anak kedua daripada enam beradik itu dikatakan dipijak di belakangnya dengan kasut polis kadet oleh pelajar Tingkatan Lima.

Pada kejadian kedua pula, Afiq dipercayai dibelasah tiga pelajar Tingkatan Tiga dengan menghentak badannya ke almari. Afiq dikatakan mula mengalami rasa sakit pada tengkuk dan lemah seluruh anggota badan pada 27 Mei lalu.

“Afiq menghubungi saya menyatakan dia sakit, lalu saya segera mengambilnya di asrama dan membawanya ke Hospital Daerah Lipis. Bagaimanapun doktor merujuk anak saya ke Hospital Temerloh sebelum dia dihantar untuk menjalani pemeriksaan urat saraf di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

“Dia kemudian dirujuk kepada doktor pakar saraf di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini untuk pemeriksaan lanjut. Doktor yang berbual dengan anak saya memujuknya untuk memberitahu punca kecederaannya.

“Saya diberitahu doktor pakar, anak saya kemungkinan besar lumpuh dari tengkuk hingga ke bawah,” kata Baharuddin.Beliau berkata, selepas menjalani pemeriksaan pakar di HKL, anaknya dipindahkan semula di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut semalam.

“Saya tidak menyangka anak saya terpaksa berdepan dengan keadaan yang mungkin menggelapkan masa depannya. Apa pun saya reda ketentuan Illahi,” katanya sebak.

Baharuddin berkata, Afiq aktif bersukan terutama badminton dan seorang pelajar yang berdisiplin kerana pernah dilantik sebagai pengawas ketika di sekolah rendah.

“Sebelum dia masuk ke asrama awal tahun ini saya berpesan kepadanya supaya tidak bergaduh dengan rakan-rakan dan tidak melawan apabila ada rakan mengusik.

“Saya sama sekali tidak menyangka dia terpaksa berdepan dengan keadaan dibuli rakan-rakan sekolahnya,” katanya yang sedia menjaga Afiq sehingga ke akhir hayatnya jika ditakdirkan anaknya itu lumpuh.

Afiq yang kini dirawat di ICU Hospital Temerloh dilihat masih lemah dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.

Baharuddin sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis berhubung kejadian itu jam 11 malam kelmarin dan turut bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mohd Shakaruddin Che Mud yang dihubungi mengesahkan menerima laporan Baharuddin di IPD Lipis, kelmarin.

Bagaimanapun, katanya laporan itu tidak menyatakan kejadian itu secara terperinci, cuma memaklumkan mengenai mangsa dikatakan sakit berpunca daripada dua kejadian berasingan.

Laporan itu turut menyatakan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Lipis sebelum dirujuk kepada Hospital Temerloh.

“Sehingga semalam, kita mendapat tahu mangsa akan dirujuk kepada pakar saraf untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

oleh:

Nor Amilia bt Uni

Rusdi B. Rabi

Siti Safinah Bt Ulis

1 comment:

  1. I am curious to know.. what do you think are the vital issues in this case..

    ReplyDelete