Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian.
Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.
Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius.
Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok. Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya!
Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.
Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli. Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu.
Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.
Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.
Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli. Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi.
Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk. Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.
Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG. Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.
Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.
Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.
Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa.
Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku.
Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita.
- Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub ialah Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.
Posted By :
Mariana Aban, Mastura Herman & Zuraidah Jamahari
You have brought useful information for us to consider.
ReplyDelete